Monday 8 December 2014

Bercuti Bersama SiComel





Bercuti bersama anak kecil pastinya akan memberi sedikit tekanan kepada anda memandangkan kerenah anak kecil adalah diluar jangkaan.



Namun

Anak kecil tidak dapat ditinggalkan & pastinya percutiaan yang dirancang untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan.



Pasti anda tidak mahu percutian itu mengecewakan!!!



Emosi kita kurang stabil sewaktu memulakan perjalanan kerana baru lepas huru-hara packing, siapkan itu, siapkan ini, bersihkan kereta, pasang Car Seat, dan macam-macam lagi.
.
Dan si kecil juga akan ‘havoc’ biasanya pada waktu ini. Waktu nilah si kecil nak bercakap-cakap, gembira bergurau dengan adik-beradik yg lain dan juga nak bercakar-cakaran sesame sendiri serta merengek-rengek.



Keadaan ini menyebabkan kita mudah nak mengamuk. INGAT! Bila kita mulakan perjalanan dengan marah, agak sukar untuk mengubah mood selepas itu dan akhirnya percutian INDAH menjadi NGERI. 

Jadi bagaimana????



1.  Rancang waktu memulakan perjalanan hampir dengan waktu tidur anak
Anak kecil mudah merasa bosan apabila terpaksa duduk di dalam kenderaan dalam tempoh yang agak panjang. Mereka akan mudah meragam bagi menterjemahkan kebosanan mereka. Memulakan perjalanan pada waktu yang hampir dengan waktu tidur anak akan menyebabkan mereka tidur disepanjang perjalanan.

Jika terpaksa juga memulakan perjalanan pada waktu anak segar-bugar, kerapkan berhenti di hentian rehat & rawat .Ini dapat memberi peluang kepada anak-anak menghirup udara segar di luar kenderaan anda, di samping mereka membeli-belah makanan dan minuman kegemaran mereka .Anak-anak tidak bosan, pemandu juga tidak tertekan.

2.  Bercuti bersama-sama rakan / saudara
Bercuti bersama orang yang dikenali seperti rakan-rakan atau sanak saudara dapat membantu memantau dan mengawal anak kecil anda, mereka juga dapat meredakan tekanan yang mungkin akan anda alami semasa percutian dengan menjadi rakan berbual dan bergurau senda.


3.  Sediakan keperluan anak secukupnya
Bawa bersama nursing cover (anak menyusu badan),  susu formula, termos air panas, berus pencuci botol, sabun pencuci botol dan botol susu.

Sediakan keperluan lampin pakai buang secukupnya. Bagi memudahkan penukaran lampin, adalah lebih praktikal jika anda menggunakan lampin pakai buang jenis seluar terutama bagi anak-anak yang telah berumur 8 bulan ke atas, yang tidak suka dibaringkan apabila memakai lampin. Jika anda membawa lampin pakai buang biasa, bawa bersama'changing mat' bagi memudahkan anda menukar lampin anak di mana jua.

Pastikan pakaian anak anda dibawa dengan cukup sepanjang percutian. Berapa banyak yang perlu dibawa bergantung kepada keperluan, mungkin 3 pasang sehari adalah memadai. Bawa juga bersama topi, kasut, stoking, tuala mandi, tuala kecil, tisu lembap, bantal kecil, tisu poket, set mandian (travel pack), putik kapas, ubat-ubatan, dan juga termometer untuk memudahkan memantau suhu badan anak. Perubahan cuaca mungkin boleh menyebabkan anak kecil anda mudah mendapat demam. Mungkin anda boleh mencuba petua tidak memandikan anak kurang daripada 3 jam sesudah sampai.

Bawa bersama pengendong bayi (baby carrier / baby sling) bagi memudahkan pergerakan anda bersama bayi terutamanya yang belum pandai berjalan sendiri. Membawa stroller mungkin kurang praktikal memandangkan saiznya yang besar dan berat.

Jangan dilupakan, bawa bersama makanan untuk bayi anda seperti nestum, biskut bayi, puri dan sebagainya memandangkan makanan bayi sukar didapati, tidak  seperti makanan orang dewasa. Bagi anak-anak yang lebih besar, bawakan bersama makanan dan minuman kegemaran mereka seperti biskut, roti, snek, lollipop, air kotak dan sebagainya untuk dimakan dan diminum sekurang-kurangnya semasa dalam perjalanan. Makanan akan membuatkan mereka leka dan perut yang kenyang akan membuatkan mereka kurang meragam. 

4.  Simpan keperluan utama anak dalam beg yang mudah dicapai
Bagi memudahkan pergerakan terutamanya apabila menggunakan kenderaan awam, menggunakan beg sandang belakang adalah lebih praktikal untuk membawa keperluan utama ini. 

5.  Bawa bersama mainan kesukaan atau buku kegemaran
Bagi mengelakkan anak anda merasa bosan sepanjang perjalanan ataupun semasa menunggu giliran dan sebagainya, bawa bersama mainan atau buku kegemarannya. Mainan dan buku yang baru dibeli mungkin lebih memberi tarikan berbanding mainan dan buku yang telah biasa mereka lihat. Jangan lupa memasukkan mainan atau buku ini dalam beg yang mudah dicapai tadi.

6.  Utamakan waktu rehat anak
Berjalan bersama anak kecil memerlukan kita mengikut rentak mereka. Elakkan terus berjalan-jalan sedangkan anak kecil anda sudah keletihan dan mengantuk. Keletihan akan menyebabkan mereka meragam yang mana kerenah mereka mungkin akan membangkitkan kemarahan dan tekanan diri anda. Cuba rancang waktu anda dengan memberi ruang rehat secukupnya kepada anak kecil anda sebelum anda memulakan aktiviti. Keletihan yang berterusan juga mungkin boleh mengganggu kesihatan anak kecil anda.

7. Sentiasa berlapang dada

Akhir sekali, nikmati percutian anda bersama si kecil dengan hati yang terbuka. Sentiasa berlapang dada dengan segala kerenah anak-anak anda. Kegembiraan itu datangnya daripada hati. Jika hati anda ikhlas dan sabar melayan kerenah anak-anak dan menukarkan segala perasaan negatif kepada positif, insya-Allah, percutian anda akan menjadi percutian yang menyeronokkan! Anak-anak gembira, ibu bapa bahagia.

No comments:

Post a Comment